Rabu, 18 Mei 2011

Mubarak akan minta maaf pada rakyat Mesir

KAHERAH 17 Mei - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak akan meminta maaf kepada seluruh negara dan memohon pengampunan tidak lama lagi, tiga bulan selepas beliau digulingkan dalam pemberontakan rakyat.

Hasrat Mubarak itu dilaporkan oleh akhbar bebas al-Shorouk, hari ini dengan memetik sumber kerajaan Mesir dan Arab.

"Mubarak sedang merangka sepucuk surat yang akan disiarkan di saluran televisyen Mesir dan Arab, untuk memohon maaf bagi pihak dirinya dan keluarganya atas sebarang kesalahan yang dilakukan terhadap rakyat," lapor al-Shorouk.


Beliau juga akan memohon maaf 'kerana sebarang tindakan yang mungkin berpunca daripada maklumat salah yang disampaikan kepadanya oleh para penasihat beliau', menurut laporan itu.

Bekas Presiden Mesir itu dan isterinya, Suzanne kini ditahan di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah selepas kedua-dua mereka mengalami serangan jantung semasa disoal siasat berhubung dakwaan rasuah.

Mubarak juga bersedia untuk menyerahkan asetnya kepada kerajaan dalam usaha untuk meminta pemerintah negara ini, Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir 'menimbangkan pengampunan', menurut akhbar tersebut.

Sumber tentera memberitahu al-Shorouk, beberapa pihak di Mesir dan negara Arab meminta pengampunan bagi pihak Mubarak, 83, 'dalam kerangka undang-undang yang boleh diterima'.

Pengampunan itu akan dipohon untuk Mubarak, isterinya, Suzanne serta dua anak lelaki mereka, Alaa dan Gamal yang ditahan di penjara Tora, Kaherah juga atas tuduhan rasuah, tetapi sumber berkata, pengampunan tidak mungkin diberikan kepada kedua-dua anak lelakinya itu.

Semalam, Suzanne memberi jaminan untuk menyerahkan wang di dalam dua akaun bank dan sebuah vila mewah miliknya kepada kerajaan, setelah pihak berkuasa mengarahkan beliau ditahan selama 15 hari atas tuduhan memperoleh kekayaan secara haram.

Mubarak juga disoal siasat berhubung arahan kepada pasukan keselamatan supaya menembak penunjuk perasaan antikerajaan yang menuntut penyingkiran beliau dalam protes selama 18 hari di seluruh negara, menyebabkan sekurang-kurangnya 846 orang terkorban dan lebih 6,000 lagi cedera.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails