Selasa, 10 Mei 2011

Kafarah Puasa

Kafarah yang wajib kerana merosakkan puasa ialah membebaskan seorang hamba yang beriman, lelaki ataupun wanita.Sekiranya dia tidak mendapatinya, ataupun tidak mampu melakukannya, maka dia hendaklah berpuasa dua  bulan berturut-turut. Sekiranya dia tidak mampu juga, maka dia hendaklah memberi makan 60 orang fakir miskin. Bagi setiap orang miskin satu cupak makanan asasi. Sekiranya dia tidak mampu untuk melakukan semua perkara ini, kafarah itu tetap kekal sebagai kewajipan ke atasnya sehingga dia mampu melakukan salah satu daripadanya.

Dalilnya adalah Hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari (1834), Muslim (1111) dan selain daripada mereka daripada Abu Hurairah r.a. katanya :
Sewaktu kami duduk disisi Nabi s.a.w tiba-tiba datang seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah musnahlah aku". Tanya Baginda: "Kenapa kamu ini?". Jawabnya: "Aku telah berjimak denga isteriku sedangkan aku berpuasa" (dalam satu riwayat, pada bulan puasa). Tanya Baginda s.a.w. : "Apakah kamu memiliki hamba untuk dibebaskan?". Jawabnya: "Tidak". Tanya Baginda s.a.w : "Apakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?". Jawabnya : "Tidak". Tanya Baginda s.a.w lagi: "Apakah kamu memiliki makanan untuk 60 orang fakir miskin?". Jawabnya: "Tidak". Katanya: Lalu Nabi s.a.w diam sebentar. Sewaktu kami duduk dalam keadaan itu datang seorang yang membawakan kepada Nabi s.a.w satu bekas yang penuh didalamnya buah tamar, Tanya Baginda: "Dimanakah orang yang bertanya tadi?". Jawabnya: "Saya". Sabda Baginda s.a.w : "Ambillah tamar ini dan bersedekahlah dengannya". Kata lelaki ini: "Apakah untuk orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah tidak ada orang yang duduk di antara dua gunung ini(yang dimaksudkan adalah Madinah) keluarganya yang lebih fakir daripada keluargaku". Lalu Nabi s.a.w tersenyum sehingga nampak  gigi gerahamnya, sabda Baginda s.a.w : "Berilah makan ahli keluargamu".

Para ulama' berkata: Seseorang fakir yang mampu memberi makan, tidak boleh memberikan
makanan itu kepada keluarganya.Begitu juga dengan kafarah yang lain.Apa yang disebutkan di dalam hadith ini hanya dikhususkan untuk lelaki itu sahaja.

Perlu diketahui bahawa orang yang berjimak diwajibkan kafarah dan mengqhada'kan hari yang telah dibatalkannya itu dengan berjimak.Kafarah itu berulang dengan berulangnya hari yang dibatalkannya dengan berjimak. Sekiranya dia berjimak dua hari pada bulan Ramadhan maka wajib dua kafarah(selain qadha'), sekiranya dia berjimak tiga hari maka wajiblah tiga kafarah da begitulah seterusnya.


sumber: Kitab Hadith Tahun 3,Syariah Islamiah University Al-azhar Mansoura
             Kitab Feqah Mazhab Syafie

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails