Isnin, 16 Mei 2011

Kenali Zainab Al-Ghazali

Dilahirkan pada 1917 , Zainab Al Ghazali Al Jubaili merupakan pengasas
Jama'at Muslimat . Penubuhan Jama'at Muslimat pada tahun 1937 ini bertujuan
untuk memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam disamping memberi
bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan tempat pergantungan setelah
ketua keluarga mereka dipenjarakan oleh pemerintah Mesir pada masa itu.


Dalam tahun 1937 ini juga, Zainab telah bertemu dengan pemimpin Ikhwanul
Muslimin pada masa itu iaitu As Syahid Hassan Al Banna yang sedang cuba
menubuhkan satu cabang khusus untuk muslimat dalam Ikhwanul Muslimin.
Jama'ah Muslimat kemudiannya dijadikan satu cabang dari gerakan Ikhwanul
Muslimin .


Bagaimanapun, pada awal penubuhannya, ia tidak terikat dengan Ikhwanul
Muslimin hinggalah berlakunya peristiwa pembubaran Ikhwanul Muslimin pada
tahun 1948. Segala harta Ikhwan telah dirampas, cawangan-cawangannya ditutup
dan beribu-ribu ahli Ikhwan telah ditangkap. Setelah peristiwa ini, Zainab
memikirkan semula saranan awal Hassan Al Banna agar Jama'at Muslimat
bergabung dengan Ikhwanul Muslimin dan akhirnya pada tahun 1948, Zainab Al
Ghazali sebagai pengerusi Jama'at Muslimat telah memberikan bai'ah kepada
Hassan Al Banna.

Bagaimanapun tanggal Februari 1949, komplot untuk membunuh Hassan Al Banna
telah dilaksanakan dan akhirnya gugurlah seorang pejuang Islam yang gigih.
Perjuangan beliau telah disambung oleh Al Imam Mursyid Hassan Al Hudaibi.
Terdapat satu peristiwa menarik berkenaan dengan Hassan Hudaibi ini. Dalam
tahun 1954, Jamal Abdul Nasser telah mengeluarkan perintah hukuman gantung
kepada As Syahid Abdul Kadir Audah, As Syeikh Muhammad Fargali, Hassan
Hudaibi dan beberapa orang lagi.

Walaubagaimanapun, Hassan Hudaibi diserang penyakit jantung secara tiba-tiba
dan doktor meramalkan bahawa beliau hanya boleh hidup beberapa jam sahaja
lagi. Jamal Abdul Nasser mengampuni beliau kerana menyangka bahawa beliau
akan mati keesokan harinya. Dengan kekuasaan Allah, umur Hassan Hudaibi
masih panjang dan beliau akhirnya ditangkap dan dihantar ke penjara tentera
buat kali kedua. Hassan Hudaibi merupakan seorang pejuang yang sejati dan
begitu berani . Sewaktu beberapa orang Ikhwan yang sudah lemah kerana berada
lama dalam perjuangan mengajukan cadangan agar Ikhwanul Muslimin bekerjasama
dengan golongan pemerintah yang taghut, beliau telah menyuarakan pendapatnya
yang masyhur:"Aku tidak memaksa seseorang bersikap tegas dan berani mengikut
pendirianku tetapi aku mengingatkanmu bahawa sesungguhnya dakwah Islam tidak
pernah tertegak walau sehari dengan orang-orang yang telah mengambil sikap
bertolak ansur".

Pendapatnya ini dilahirkan sewaktu beliau berumur 80 tahun dan beliau terus
kekal dalam penjara dan hanya dibebaskan setelah kematian Jamal Abdul
Nasseer. Awal Ogos 1965, Jamal Abdul Nasser mula membuat perancangan untuk
menangkap barisan pemimpin harakah Islamiah. Perancangan ini didalangi oleh
perisik-perisik Amerika dan Russsia yang di susun oleh Zionisme
Antarabangsa. Untuk mengaburi mata orang ramai, rejim Jamal Abdul Nasser
telah menuduh Zainab dan pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain
seperti Syed Qutb dan Hassan Hudaibi merancang pembunuhan Jamal Abdul Nasser
dan 4 orang menterinya. Hasilnya, beribu-ribu orang ahli Ikhwanul Muslimin
telah ditangkap. Zainab sendiri telah ditahan pada Jumaat, 20 Ogos 1965.
Beliau kemudian telah disumbatkan ke penjara dan di sana beliau melihat
bagaimana anggota Ikhwanul Muslimin diseksa dengan teruk. Ada yang
digantung, dicambuk dan dicakar-cakar oleh anjing ganas setelah mereka
disebat. Zainab sendiri disiksa dengan kejam termasuk dipukul dengan teruk,
disumbatkan dalam penjara air dan diancam untuk dirogol. Walaupun beliau
berada dalam kesakitan kerana disiksa, namun dengan pertolongan Allah beliau
berjaya menewaskan askar yang diperintahkan untuk merogolnya.

Untuk mengaburi mata rakyat, pihak pemerintah telah mengaturkan agar
ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap dihadapkan ke muka pengadilan pada 17 hb Mei
1966. Hasil dari perbicaraan yang berat sebelah ini, barisan pimpinan Ikhwan
seperti Syed Qutb, Abdul Fattah Ismail, Yusuf Hawash dan lain-lain
dijatuhkan hukuman gantung. Zainab dan Hameedah Qutb pula masing-masing
dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 25 tahun dan 10 tahun dengan kerja berat
Semasa berada dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nassser mati. Akhirnya pada
10 hb Ogos 1971, Zainab telah dibebaskan dari tahanan setelah 6 tahun
mengalami pelbagai penderitaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails