Template by:
Free Blog Templates

Ahad, 25 September 2011

Akta Yang Gantikan ISA Lebih Zalim

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (“ISA”). Langkah tersebut mendapat pujian semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan.
Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA tersebut. Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan tersebut adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.

USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan September 11, 2001.


Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing. Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.

Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah. Harus dinyatakan di sini bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan.

Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh Kerajaan kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, Kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa. Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana factor-faktor keselamatan.

JUHAM menegaskan bahawa penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri. Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah.

Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga telah dicabar di mahkamah dan mahkamah telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3 akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights. Ini kerana hak orang yang ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus mahkamah. Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan Human Rights Act 1998. Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.

Sungguhpun langkah Perdana Menteri yang ingin memansuhkan ISA adalah dialu-alukan, namun, pengumuman Kerajaan untuk menggantikan ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK adalah sangat tidak tepat. Seharusnya Kerajaan tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia. Jika Kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya Kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.

Sekiranya, prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif, ibarat pepatah Melayu “Keluar mulut buaya, masuk mulut singa”. Di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.

Sehubungan dengan ini juga, JUHAM berpandangan adalah wajar kerajaan mempelajari falsafah perundangan Islam yang tidak membenarkan kebebasan seseorang itu disekat melainkan dengan bukti yang nyata. Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan semata-mata kerana perbezaan fahaman politik. Penahanan atas dasar perbezaan politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut dibuat. Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi, tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di Malaysia.


AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails