Rabu, 17 Ogos 2011

Kongkongan Politik : Sebab Utama Musibah Menimpa Umat Dahulu Dan Sekarang

Musibah pertama yang menimpa umat Islam dalam sejarahnya ialah pengabaian terhadap kaedah syura dan bertukarnya Khilafah Al-Rasyidah kepada sistem beraja yang zalim. Sebahagian sahabat menamakannya sebagai sistem Kisra atau Kaisar. Ini bermakna jangkitan sistem empayar Diktator telah menular kepada umat Islam daripada kerajaan-kerajaan beraja (Monarki) yang dianugerahkan oleh Allah kepada umat ini. Sepatutnya umat Islam menjadikan nasib mereka sebagai pengajaran dan menjauhkan diri dari maksiat dan kekejian yang menjadi sebab runtuhnya kerajaan-kerajaan mereka. Tetapi alangkah sedihnya mereka telah memindahkan perkara paling buruk dalam kehidupan politik mereka iaitu sistem diktator dan sombong di bumi ke dalam negara umat Islam yang sepatutnya dipimpin oleh mereka yang tidak sombong dan tidak melakukan kerosakan di muka bumi.

Apa yang menimpa Islam, umat dan dakwahnya pada zaman moden ini adalah sebahagian daripada hasil penerusan dasar pemerintahan diktator yang menguasai manusia dengan mata pedang dan emasnya (material). Syariat ditangguhkan, sekularisme dipaksakan dan manusia dipaksakan dengan budaya barat menerusi kekerasan dan paksaan serta menggunakan kuku besi sebagai senjata. Dakwah Islamiah dan Gerakan Islam dipukul, para penyeru serta pendokongnya ditangkap dan diburu dengan kejam menerusi pemerintahan diktator pada satu ketika dan ketika  yang lain bertopengkan Demokrasi palsu. Inilah yang diarahkan oleh kuasa yang memusuhi Islam secara terang-terangan ataupun menerusi balik tabir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails