Template by:
Free Blog Templates

Khamis, 21 April 2011

Kecacatan Yang Membolehkan Fasakh Nikah Dan Kesannya

Kita akan membahagikan perbincangan ini kepada dua iaitu kecacatan yang membolehkan fasakh nikah dilakukan dan kesan daripada fasakh nikah yang disebabkan oleh kecacatan yang berlaku.

PERTAMA:KECACATAN YANG MEMBOLEHKAN FASAKH NIKAH

Kecacatan yang membolehkan fasakh nikah terbahagi kepada dua:
1.  Kecacatan yang boleh menghalang daripada berlakunya persetubuhan seperti terputus kemaluan atau mati pucuk bagi lelaki dan lubang faraj tertutup disebabkan tumbuhnya tulang atau daging bagi perempuan.

2.  Kecacatan yang tidak menghalang daripada berlakunya persetubuhan tetapi terdapat penyakit menjijikkan atau merbahaya yang menyebabkan pasangan suami isteri tidak dapat hidup bersama kecuali terpaksa menanggung kesusahan (kemudaratan) seperti kusta, sopak dan gila.

Pembahagian Kecacatan Jika Dilihat Kepada Suami Isteri

Kecacatan yang dilihat kepada pasangan suami isteri terbahagi kepada tiga bahagian:
1.  Kecacatan yang berlaku  kepada suami dan isteri seperti kusta. sopak dan gila.

2.  Kecacatan yang khusus kepada isteri sahaja iaitu  tumbuh daging atau tulang yang menutup lubang faraj.

3.  Kecacatan yang khusus kepada suami sahaja iaitu terputus zakar atau mati pucuk.

Kecacatan Yang Boleh Berlaku Kepada Suami Dan Isteri
Jika suami atau isteri mendapati pasangannya mempunyai
penyakit gila, kusta, atau sopak, dia mempunyai pilihan untuk fasakhkan nikah, sama ada dia juga mempunyai penyakit tersebut ataupun tidak.Ini kerana manusia merasa jijik melihat kecacatan orang lain tetapi tidak merasa jijik jika kecacatan tersebut ada pada dirinya sendiri.

Dalil Wujudnya Pilihan Disebabkan Kecacatan Ini

Dalil seseorang mempunyai pilihan sama ada  memfasakhkan nikah atau tidak disebabkan pasangannya mempunyai kecacatan yang disebutkan di atas ialah hadis Riwayat Baihaqi (7/214) daripada Ibn Umar katanya;


"Rasulullah s.a.w telah berkahwin dengan seorang perempuan daripada golongan Ghifar.Setelah dibawa masuk menemui Rasulullah s.a.w, Baginda mendapati pada badannya terdapat penyakit sopak.Nabi bersabda: Pakailah bajumu dan kembalilah kepada keluarga kamu.Nabi bersabda kepada keluarga perempuan itu: Kamu menyembunyikan kecacatannya daripadaku"

Imam Syafie meriwayatkan bahawa Saidina Umar Al Khatab telah memisahkan pasangan suami isteri disebabkan penyakit kusta, sopak  dan gila yang dihidapinya.Tindakan seperti ini diambil berdasarkan petunjuk Rasulullah s.a.w. Dalam Hadis sahih, disebutkan:
"Larilah daripada penyakit kusta sebagaimana kamu lari daripada singa"

Kecacatan Yang Khusus Kepada Isteri

Jika suami mendapati kemaluan isterinya tertutup disebabkan tulang atau daging yang tumbuh, dia berhak memfasakhkan perkahwinan kerana kecacatan ini menghalang daripada mencapai maksud perkahwinan iaitu persetubuhan.

Kecacatan Yang Khusus Kepada Suami

Jika isteri mendapati kemaluan suaminya terpotong atau mati pucuck, dia mempunyai hak fasakh.

Mawardi  meriwayatkan bahawa ulama sepakat menyatakan isteri boleh memilih untuk fasakh jika kemaluan suaminya didapati terpotong atau mati pucuk kerana kecacatan itu menghalang maksud perkahwinan.

Kecacatan Berlaku Selepas Akad Nikah

Jika kecacatan yang disebutkan sebelum ini berlaku kepada suami atau isteri selepas akad nikah sama ada selepas persetubuhan atau sebelumnya, kecacatan tersebut boleh menghalang persetubuhan seperti terpotong kemaluan atau mati pucuk bagi suami atau lubang faraj isteri tertutup disebabkan daging atau tulang yang tumbuh atau kecacatan tersebut tidak mengahalang daripada berlakunya persetubuhan seperti sopak, kusta, gila, pasangannya boleh memilih untuk fasakh nikah sama seperti kecacatan yang telah dibincangkan sebelum ini.

Walaubagaimanapun, mati pucuk yang berlaku selepas persetubuhan dikecualikan daripada hukum di atas.Dalam masalah tersebut isteri hilang hak untuk memilih fasakh kerana  maksud nikah di pihak isteri ialah mas kahwin dan persetubuhan telah tercapai.Perkara tersebut telah sempurna sebelum berlakunya mati pucuk.

Mengubati Kecacatan

Jika lubang faraj yang tertutup boleh diubati dengan melakukan pembedahan dan isteri pula bersetuju untuk melakukannya, ketika itu suami tidak ada pilihan untuk fasakhkan nikah kerana tidak ada sebab yang membolehkan fasakh.

Begitu juga penyakit gila, sopak dan kusta boleh diubtai, hak fasakh dibatalkan kerana tiada faktor yang membawa kepada fasakh.

Hak Wali Untuk Fasakhkan Nikah

Wali perempuan mempunyai hak fasakh jika dia mendapati pengantin lelaki mempunyai kecacatan sebelum berlakunya akad pengantin lelaki mempunyai kecacatan sebelum berlakunya akad nikah.Hak ini ada pada wali sama ada pengantin perempuan setuju dengan fasakh tersebut ataupun tidak.Ini kerana wali akan merasa malu dengan kecacatan yang berlaku.

Wali tidak mempunyai hak untuk fasakhkan nikah jika kecacatan berlaku selepas persetubuhan.Ini kerana pada adatnya, rasa malu  tidak menimpanya, berbeza dengan kecacatan yang berlaku sebelum akad.

Begitu juga wali tidak mempunyai hak unutk fasakhkan nikah disebabkan kecacatan mati pucuk dan terpotong kemaluan yang berlaku sebaik sahaja selepas akad.Ini kerana mudarat itu hanya dihadapi oleh isteri sahaja dan dia meredhainya.Pada adatnya rasa malu tidak menimpa wali.

Fasakh Dengan Segera

Hak fasakh nikah kerana kecacatan yang disebutkan di atas (apabila ia wujud) hendaklah dilakukan dengan segera kerana ia adalah Khiar Aib.Rasa tidak puas hati (tidak redha) hendaklah segera dikemukakan.Pengantin perempuan, begitu juga pengantin lelaki mestilah segera membawa perkara itu kepada hakim(qadi) untuk fasakh.Jika salah seorang daripada mereka mengetahui kecacatan pasangannya tetapi mendiamkan diri sahaja, haknya untuk fasakhkan perkahwinan terbatal.Kecuali jika dia tidak tahu bahawa dia berhak meminta fasakh maka haknya masih kekal.

Fasakh Memerlukan Keputusan Qadi

Pengantin lelaki atau pengantin perempuan tidak boleh memfasakhkan sendiri perkahwinan mereka disebabkan berlakunya kecacatan yang telah disebutkan.Mereka mesti  membawa perkara itu kepada qadi serta meminta qadi memfasakhkan nikah tersebut.Jika kecacatan terbukti wujud, qadi hendaklah memfasakhkan perkahwinan itu.

Memberikan Tempoh Kepada Suami Yang Mati Pucuk


Jika terbukti suami mati pucuk,qadi hendaklah memberikan tempoh kepadanya selama setahun  berdasarkan kalendar hijrah.Ini dilakukan dengan andaian kecacatan itu akan hilang dengan berubahnya musim.Jika andaian itu tepat, itulah yang lebih baik.Jika sebaliknya, perkahwinan itu hendaklah difasakhkan.

Dalilnya ialah kata-kata Umar Bin Al Khatab r.a mengenai suami yang mati pucuk.Diberi tempoh selama setahun.Jika dia mampu (bersetubuh), perkahwinan dikekalkan.Jika tidak, mereka hendaklah dipisahkan dan isteri berhak mendapat mas kahwin serta mempunyai eddah.

Bagaimana Mensabitkan Suami Mati Pucuk

Semua kecacatan yang disebutkan di atas disabitkan dengan pengakuan atau laporan doktor.Kecuali mati pucuk, ia hanya disabitkan dengan pengakuan suami di hadapan qadi(hakim).Ataupun isteri bersumoah ketika suami enggan bersumpah apabila qadi memintanya bersumpah untuk membuktikan bahawa dia bukan seorang yang mati pucuk.

KEDUA:KESAN DARIPADA FASAKH NIKAH YANG DISEBABKAN OLEH KECACATAN YANG BERLAKU


Jika berlaku fasakh nikah atas permintaan suami atau disebabkan kecacatan-kecacatan di atas, maka fasakh itu berlaku sebelum persetubuhan atau selepasnya, atau kecacatan itu berlaku sebelum persetubuhan atau selepasnya.
1. Jika fasakh berlaku sebelum persetubuhan, mas kahwin tidak dikenakan dan tidak ada bayaran mut'ah untuk isteri.

Ini kerana kecacatan itu berlaku kepada suami, isteri yang diminta fasakh.Oleh sebab itu dia tidak mendapat apa-apa.Jika kecacatan yang ada padanya dan seolah-olah dia yang melakukan fasakh.

2.  Jika fasakh berlaku selepas persetubuhan , manakala kecacatan pula berlaku sebaik saja selesai akad, atau berlaku di antara akad dan persetubuhan, dan suami tidak menyedarinya, isteri wajib mendapat mahar misil.

3.  Jika fasakh dan kecacatan  berlaku selepas persetubuhan , isteri wajib mendapat semua mas kahwin yang telah disebutkan ketika akad. Ini kerana mas kahwin mesti dibayar dengan berlakunya persetubuhan sebelum wujudnya sebab-sebab fasakh.Berlakunya kecacatan selepas persetubuhan tidak merubah hakikat tersebut.

Suami Tidak boleh Menuntut Balik Mas Kahwin Daripada Orang yang menipunya.

Suami tidak boleh menuntut balik mas kahwin daripada wali atau isterinya yang menipunya.Ini kerana dia telah mendapat manfaat daripada faraj isterinya yang dinilai ketika akad.

Gambaran penipuan yang berlaku ialah: Isteri atau wali tidak menceritakan kecacatan isteri kepada suaminya, dengan syarat kecacatan itu berlaku sebelum persetubuhan.


Sumber : Kitab Feqah Manhaji Mazhab Syafie

1 ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails