Template by:
Free Blog Templates

Khamis, 5 Januari 2012

Politik, Mahasiswa Dan Modus Operandi Pemerintah

Mahasiswa dan politik merupakan dua entiti yang tidak dapat dipisahkan. Tapi itu dulu. Mahasiswa sanggup berada dibarisan hadapan apa sahaja isu berkaitan sosial amnya, opresif dan ketidakeadilan terhadap masyarakat oleh sang penguasa yang rakus.

Lama-kelamaan, mahasiswa dan politik cuba dipisahkan. Ia cuba dipisahkan oleh golongan-golongan fasis yang ingin mengekalkan kuasa mahupun golongan konservatif yang takut akan perubahan dan sering berada di zon selesa.


Hak mahasiswa untuk berpolitik dihadkan melalui akta-akta drakonian yang diluluskan oleh ahli-ahli parlimen yang berkiblatkan budaya fasisme. Sejak akta-akta drakonian ini mencengkam institusi pengajian tinggi, gerakan mahasiswa mula hilang taring.

Mahasiswa dibonzaikan pemikiran mereka. Politik itu seolah-olah bukan sebahagian daripada mahasiswa. Mereka menjadi takut untuk berbicara soal politik, perubahan dan rakyat di dalam mahupun di luar kampus.
Modus Operandinya sangat mudah:-

Pertama sekali, mahasiswa dimomokkan dengan akta-akta drakonian kononnya pelajaran dan masa hadapan akan terjejas jika melakukan sesuatu aktiviti mahupun perkara yang bertentangan dengan idealisme sang pemerintah. Sebagai contoh, menjanjikan ‘imbuhan’ berbentuk hukuman.

Kedua, ‘budaya syukur’ ditanam kedalam jiwa mahasiswa. Mahasiswa diajar untuk bersyukur dan membalas jasa dan budi sang penguasa dari semua aspek. Jika ingkar, bahananya mahasiswa akan dilabel sebagai derhaka dan petualang bangsa kerana tidak bersyukur dengan pemberian kerajaan dari aspek pendidikan.

Ketiga, sang penguasa akan merekayasa satu entiti dijadikan sebagai musuh. Ia kononnya bertujuan menyatupadukan mahasiswa melawan entiti tersebut. Sebagai contoh mengunakan perkataan-perkataan berikut ketika berhujah atau menyebarkan propaganda :- “anasir luar”, “agen asing yang cuba memecah-belahkan”, “agenda pembangkang” dan sebagainya.

Keempat, mereka akan cuba mendoktrinasi minda mahasiswa dengan mengatakan bahawa pelajaran itu penting dan ia merupakan amanah kedua ibubapa. Di sini mereka cuba mengambarkan bahawa jika mahasiswa bergelumang dengan politik, pembelajaran mereka akan terjejas. Sejajar dengan pandangan Mahathir mengenai AUKU.

Tidak mengapa, mahasiswa masih mempunyai peluang untuk beraksi di pentas demokrasi semula dibawah program transformasi kepimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak. Kerajaan menjanjikan untuk membenarkan mahasiswa berpolitik.

Adakah ia sekadar kosmetik atau retorik pilihanraya yang kian tiba? Ataupun sudah masanya untuk merehatkan parti tua ini dari landskap politik Malaysia?
Tepuk dada tanya selera.
Daripada : Mahasiswa Benci AUKU

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails