Muktahir ini, kebangkitan mahasiswa begitu digeruni oleh pihak pemerintah. Kebangkitan ini dikatakan suatu kebangkitan anti kerajaan, militan, extreme dan sebagainya. Namun tanggapan yang jauh terpesong itu tidak lansung melemahkan semangat juang mahasiswa walaupun di tohmah dan dilabel sebagai satu kebangkitan yang membabi buta, kebangkitan tanpa arah tuju dan kebangkitan tanpa idealisme perjuangan.
Pasca era 1 Januari 2012 telah memberi satu suntikan energetically kepada jiwa-jiwa muda khususnya dan seluruh rakyat amnya dalam mendepani arena arus perubahan negara. Laungan suara-suara keramat inteligensia memberi satu kesedaran bahawa mahasiswa bukan boleh dibakul sampahkan oleh pihak-pihak yang cuba menghidangkan intimidasi dengan berbagai tindakan. Apa yang berlaku terhadap Saudara Adam Adli dan Saudara Safwan Anang serta partisipasi aktivis mahasiswa yang lain telah mencerminkan komposisi muda yang akan menjadi isyarat awal bahawa kebangkitan mahasiswa yang tidak pernah malap walau ditekan, dihentak berbagai ugutan. Mahasiwa lagi dihentak, lagi bersemangat.
Jelas terbukti bahawa mahasiswa merupakan battalion yang lebih baik dalam merentasi arena masa depan negara yang telus dan adil. Secara peribadi saya menyokong tindakan yang dilakukan oleh Saudara Adam Adli dan Saudara Safwan Anang serta aktivis mahasiswa yang lain.
Persoalannya, mengapa AUKU tidak terus dikuburkan sahaja? Mengapa perlu dilaksanakan pindaan kononnya memberi sedikit kelonggaran terhadap mahasiswa dalam menyatakan pandangan mereka. Mengapa pandangan dan ruang yang diberikan kepada mahasiswa hanya dihadkan topik berkaitan bidang pengajian mahasiswa sahaja seperti yang termaktub dalam Seksyen 15 (6) (a) AUKU (pindaan 2009). Mengapa… Mengapa… Mengapa….
Mahasiswa perlu diberi ruang dan peluang yang luas dalam menyuarakan pandangan mereka sebagai generasi pelapis tampuk kepimpinan negara. Adalah tidak wajar apabila mahasiswa yang cuba tampil melontarkan pandangan atau kritikan dilabel sebagai `anti kerajaan’ dan mahasiswa yang berdemo dalam menuntut hak dilabel mengecam ketenteraman.
Justeru, kebangkitan mahasiswa sebenarnya tidak lain dan tidak bukan menunjukkan bahawa mahasiswa adalah merupakan golongan yang mempunyai idealisme mereka tersendiri dan tidak mudah digula-gulakan. Mahasiswa bukan peluru sesat atau pedang karat yang boleh dimanfaatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mahasiswa juga tidak bersifat memencilkan dalam isu-isu yang melibatkan kemasyrakatan, walhal berjuang atas sikap umum untuk menyatakan pendirian dan membela kepada perkara-perkara yang memerlukan pembelaan. Itulah mahasiswa, bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh pelusuk dunia.
Frasa yang perlu ditekankan disini, mahasiswa perlu berani untuk menterjemah hak mahasiswa, dan bukan untuk menjadi `tukang angguk’ atau `yes man’ kepada segala apa yang dipercaturkan oleh pemerintah.
SUARA MAHASISWA SUARA KERAMAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan