Mahasiswa dan politik merupakan dua entiti yang tidak dapat  dipisahkan. Tapi itu dulu. Mahasiswa sanggup berada dibarisan hadapan  apa sahaja isu berkaitan sosial amnya, opresif dan ketidakeadilan  terhadap masyarakat oleh sang penguasa yang rakus.
Lama-kelamaan, mahasiswa dan politik cuba dipisahkan. Ia cuba  dipisahkan oleh golongan-golongan fasis yang ingin mengekalkan kuasa  mahupun golongan konservatif yang takut akan perubahan dan sering berada  di zon selesa.
Hak mahasiswa untuk berpolitik dihadkan melalui akta-akta drakonian  yang diluluskan oleh ahli-ahli parlimen yang berkiblatkan budaya  fasisme. Sejak akta-akta drakonian ini mencengkam institusi pengajian  tinggi, gerakan mahasiswa mula hilang taring.
Mahasiswa dibonzaikan pemikiran mereka. Politik itu seolah-olah bukan  sebahagian daripada mahasiswa. Mereka menjadi takut untuk berbicara  soal politik, perubahan dan rakyat di dalam mahupun di luar kampus.
 Modus Operandinya sangat mudah:-
Pertama sekali, mahasiswa dimomokkan dengan akta-akta drakonian  kononnya pelajaran dan masa hadapan akan terjejas jika melakukan sesuatu  aktiviti mahupun perkara yang bertentangan dengan idealisme sang  pemerintah. Sebagai contoh, menjanjikan ‘imbuhan’ berbentuk hukuman.
Kedua, ‘budaya syukur’ ditanam kedalam jiwa mahasiswa. Mahasiswa  diajar untuk bersyukur dan membalas jasa dan budi sang penguasa dari  semua aspek. Jika ingkar, bahananya mahasiswa akan dilabel sebagai  derhaka dan petualang bangsa kerana tidak bersyukur dengan pemberian  kerajaan dari aspek pendidikan.
Ketiga, sang penguasa akan merekayasa satu entiti dijadikan sebagai  musuh. Ia kononnya bertujuan menyatupadukan mahasiswa melawan entiti  tersebut. Sebagai contoh mengunakan perkataan-perkataan berikut ketika  berhujah atau menyebarkan propaganda :- “anasir luar”, “agen asing yang  cuba memecah-belahkan”, “agenda pembangkang” dan sebagainya.
Keempat, mereka akan cuba mendoktrinasi minda mahasiswa dengan  mengatakan bahawa pelajaran itu penting dan ia merupakan amanah kedua  ibubapa. Di sini mereka cuba mengambarkan bahawa jika mahasiswa  bergelumang dengan politik, pembelajaran mereka akan terjejas. Sejajar  dengan pandangan Mahathir mengenai AUKU.
Tidak mengapa, mahasiswa masih mempunyai peluang untuk beraksi di  pentas demokrasi semula dibawah program transformasi kepimpinan Perdana  Menteri Najib Tun Razak. Kerajaan menjanjikan untuk membenarkan  mahasiswa berpolitik.
Adakah ia sekadar kosmetik atau retorik pilihanraya yang kian tiba?  Ataupun sudah masanya untuk merehatkan parti tua ini dari landskap  politik Malaysia?
 Tepuk dada tanya selera.
 Daripada : Mahasiswa Benci AUKU

Tiada ulasan:
Catat Ulasan