Sesungguhnya intipati Demokrasi bukannya definisi, dan istilah akedemik ialah : Orang ramai memilih pemerintah yang mentadbir urusan mereka. Tidak boleh dipaksakan kepada mereka pemerintah atau sesuatu sistem yang tidak dipersetujui oleh mereka. Mereka juga berhak memberi teguran kepada pemerintah apabila berlaku kesalahan dan berhak memecat dan menukarkannya jika dia menyeleweng. Rakyat tidak boleh dipimpin dengan paksa mengikut aliran dasar ekonomi, sosial, peradaban atau politik yang mereka tidak kenali dan tidak persetujui. Apabila perkara tersebut ditentang oleh sebahagian manusia, ganjarannya ialah pengusiran, penangkapan bahkan penyeksaan dan pembunuhan.
Inilah intipati Demokrasi yang sebenarnya. Manusia telah mendapati ungkapan dan cara yang praktikal untuk sistem ini seperti pilihanraya, pungutan suara, hak memerintah bagi golongan majoriti, berbilang parti politik, hak golongan minoriti untuk membangkang, kebebasan akhbar, sistem kehakiman dan sebagainya.
Adakah initipati Demokrasi seperti yang disebutkan di atas bertentangan dengan Islam? Dari manakah datangnya pertentangan ini? Apakah dalil yang kukuh mengenai dakwaan ini daripada Al-Quran dan As-Sunnah?
Intipati Demokrasi Bertepatan Dengan Islam
Realitinya, seseorang yang meneliti intipati Demokrasi pasti akan dapat mendapati bahawa ia adalah berasal daripada Islam yang sebenarnya. Islam melarang seseorang yang dibenci dan tidak disukai menjadi Imam dalam sembahyang. Dalam suatu hadith Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Tiga golongan yang sembahyangnya tidak akan diangkat walaupun sejengkal ….. dan disebut golongan yang pertama : Lelaki yang mengimamkan satu kaum sedangkan mereka membencinya….”(Riwayat Ibnu Majah)
Sekiranya inilah pandangan Islam dalam soal sembahyang, maka bagaimanakah pula dalam perkara yang berkaitan dengan kehidupan dan politik? Dalam satu hadith yang sahih Rasulullah saw telah bersabda:
“Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu menyayanginya dan dia menyayangimu, kamu berdoa untuknya dan dia berdoa untukmu. Sejahat-jahat pemimpin pula adalah siapa yang kamu membencinya dan dia membencimu, kamu melaknatinya dan dia melaknatimu” (Riwayat Muslim)
Sumber rujukan : Kitab Feqh Daulah Menurut Perspektif Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan