Khamis, 3 November 2011

Kenyataan Media YAB Datuk Al-Mursyidul Am PAS : Program Seksualiti Merdeka Perlu Dihalang



  1.  Saya amat terkejut dengan penganjuran program Seksualiti Merdeka yang sedang dirancang oleh beberapa NGO dan individu sebagaimana yang sedang diiklankan melalui laman web http://seksualitimerdeka.org .
  2. Jika program tersebut benar-benar bermatlamatkan untuk mengiktiraf hak sesetengah pihak yang mempunyai kecenderungan seks yang songsang termasuklah golongan gay dan lesbian, ia perlu dicegah dan ditentang. Ini merupakan penghancuran terhadap kehidupan beragama yang kesemuanya mengharamkan amalan homoseks.
  3. Sesungguhnya Islam tidak menyekat hak asasi manusia tetapi ia hendaklah selari dengan hak asasi Pencipta alam ini iaitu Allah SWT. Di antara perkara yang dijamin kemuliannya oleh Islam ialah agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Sebarang aktiviti yang menceroboh kemuliaan lima perkara ini akan mengakibatkan keruntuhan terhadap tamadun manusia. Amalan homoseks hakikatnya merupakan pencerobohan terhadap keturunan secara langsung dan juga sekaligus pencerobohan terhadap kelima-limanya secara tidak langsung.  Setiap akal waras manusia pasti akan menolak budaya ini untuk diamalkan dalam masyarakat.
  4. Jika hak asasi untuk melakukan homoseks dibenarkan, maka adakah akan timbul pula hak asasi untuk mencuri, hak asasi untuk merompak, membunuh dan pelbagai lagi jenayah yang disandarkan ke atas hak asasi? Justeru, ia perlu dihalang dengan segala kemampuan yang ada.
  5. Sewajarnya tindakan tegas diambil bukan sahaja terhadap penganjur program ini bahkan terhadap media massa yang ghairah memaparkan perkara-perkara lucah dan fitnah sehingga menyebabkan isu sebegini menjadi biasa di telinga masyarakat. Pelbagai istilah disebut dan gambar-gambar dipaparkan secara terbuka oleh media seolah-olah tidak menjadi kesalahan dan ini mengakibatkan hakisan moral golongan anak muda semakin besar.
  6. Saya yakin kerajaan dengan segala kekuatan dan kuasa yang ada mampu bertindak terhadap penganjuran program sebegini tanpa menunggu desakan dari mana-mana pihak. Saya harap tidak ada apa-apa permainan politik kerana amat biasa di dalam senario negara pada hari ini isu yang diperbesarkan akhirnya hanya menjadi mainan media semata-mata.

Dengan hormat,

Yang Amat Berhormat Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS).

Bertarikh : 7 Zulhijjah 1432 H bersamaan 3 November 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails